Demo Blog

HAPUSKAN KEJAHILAN,TEGAKKAN PENGAMALAN..

by URUSETIA RAKAN MASJID SULTAN BADLISHAH on Nov.22, 2009, under

"Wahai Nabi Allah! Siapakah orang yang paling pandai?” tanya kaum Nabi Musa a.s. Baginda menjawab;
“Akulah yang paling pandai di kalangan manusia”. Lalu Allah s.w.t. menegur baginda Musa a.s. atas
perkataannya itu. Nabi Musa a.s. memohon ampun dan Allah s.w.t. pun mewahyukan kepada baginda
tentang seorang hambaNya bernama Khidir a.s., seorang lelaki yang lebih banyak ilmunya daripada baginda.
Itulah kisah seorang Nabi Allah yang diceritakan di dalam Al Quran Surah Al Kahfi bermula ayat 60. Maha Suci
Tuhan yang tidak akan berkata dengan KalamNya dengan kata-kata yang tidak mempunyai makna dan tujuan. Kisah itu
dikhabarkan agar kita sentiasa merendah diri dengan ilmu yang kita miliki.
Lebih-lebih lagi bagi kita yang diberikan amanah sebagai seorang guru atau pendidik. Hendaklah kita sentiasa
sedar bahawa setinggi mana pun peringkat pendidikan kita, hatta seorang yang bergelar profesor, namun kita tidak
seharusnya mendabik dada dengan ilmu yang kita ada. Kerana ia tidak ubah seperti setitis air di hujung jarum berbanding
lautan yang luas.
Insaflah kita, bahawa ilmu yang kita ada adalah milik Allah yang diamanahkan kepada kita untuk disampaikan
kepada manusia sejagat. Itulah tugas dan amanah bagi mereka yang sudah berilmu. Sampaikanlah dengan rasa tawadhuk
kepada Allah. Sudah seharusnya bagi kita yang berilmu, semakin bertambah ilmu semakin kenal kita pada Allah. Semakin
kenal pada Allah, semakin dekat kita padaNya. Dan semakin dekat kita, semakin banyak ketaatan yang kita lakukan dan
semakin terhakisnya kejahatan dan kemaksiatan.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa yang bertambah ilmunya, tetapi tidak bertambah
hidayah (ketaatannya), maka sesungguhnya dia akan semakin jauh daripada Allah.” Wal’yazubillah. Mari kita hisab diri
kita wahai insan yang bergelar guru. Sejauh mana ilmu yang kita ada dapat membantu kita mengenali Pencipta? Semakin
tinggikah akhlak kita terhadap Khalik dan makhluk? Atau ilmu hanya tinggal ilmu, sedangkan akhlak merudum ke
peringkat yang paling hina?
Kita di sini bukanlah untuk berseronok atau hanya untuk menghitung rezeki. Tetapi ditakdirnya kita di sini adalah
dengan satu tanggungjawab yang bukan diamanahkan oleh majikan kita, tetapi oleh Allah; raja segala raja.
Tanggungjawab untuk menghasilkan insan-insan yang berilmu dan yang tahu menggunakan ilmu itu untuk mengenali
Allah serta menambahkan ketaatan kepadaNya.
Kita bukan mendidik mereka hanya untuk berjaya di dalam peperiksaan. Tetapi matlamat kita seharusnya lebih
jauh dari itu. Matlamat kita ialah agar dengan ilmu yang meluncur dari bibir kita ke hati mereka, kelak insyaAllah mereka
akan berjaya di negeri akhirat.
Kita sentiasa menarik nafas lega bila kejayaan mereka diumumkan di penghujung semester. Tetapi pernahkah kita
terfikir untuk menarik nafas lega sekali lagi, bila kejayaan mereka mendapat rahmat Allah, diumumkan di padang
mahsyar. Di kala itu, beruntunglah orang-orang yang sentiasa menunjuk ajar manusia agar mempergunakan ilmu untuk
menuju Allah. Bahkan, keuntungan itu sudah pasti kita rasai terlebih dahulu di alam kubur, kerana ilmu yang bermanfaat
itu, adalah amalan yang tidak akan terputus ganjaran pahalanya.
Jadikanlah ini sebagai matlamat utama. Didiklah pelajar-pelajar kita dengan didikan yang sempurna bukan
semata-mata untuk lulus di dalam peperiksaan dunia, tetapi juga untuk lulus dalam peperiksaan akhirat.
Sampai bilakah orang yang berilmu akan terus berdiam diri melihat akhlak anak didik mereka sentiasa tercemar.
Jangan khianati amanah Allah. Bantulah mereka untuk mengenaliNya. Kalau mereka membuat kesilapan, kesilapan
mereka adalah kerana kejahilan. Tetapi yang lebih bersalah dan yang lebih besar dosanya, ialah kita. Kerana kita punya
ilmu dan kita tahu yang mana baik dan yang mana buruk, tetapi kita tidak menyeru mereka ke arah kebaikan dan
mencegah mereka dari melakukan kemungkaran.
Sekali lagi, dosa kemungkaran disebabkan kejahilan tidaklah seberat dosa membiarkan kemungkaran sedangkan
ia mempunyai pengetahuan.Wallahu’alam.
0 ulasan more...

Pengalaman menarik Fatimah Syarha menerusi kolum Remaja Majalah Solusi isu no 21.

by URUSETIA RAKAN MASJID SULTAN BADLISHAH on Nov.22, 2009, under


Bacaan ini bukanlah menggalakkan kita menjadi judgmental. Diharap dapat baca dengan hati yang terbuka. Semoga bacaan ini dapat "put things into perspective" buat kita dalam menilai dan memahami kewajipan menutup aurat sebagaimana yang dituntut agama, insyaAllah.

Corat-Coret Kisah Tudung Labuh…

“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?” Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.

Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.

Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor (kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian selamanya harum dalam ingatan. 

Yang Tertutup Itu Indah

Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”

Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.



Istimewa Bertudung Labuh

Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh. 

Dikejar Tebuan Tanah

Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan.

Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.
 

Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.
 
                                                                                                        
                                                                                                  tebuan tanah 
Terlindung daripada Mata Mat Rempit

Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.

Akhirnya ku membeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu. 

Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku. 

Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan. 

Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal. 

Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.

“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.

Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.

Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!

Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah! 

Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut

Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.

Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.

Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?

Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh

Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan. 

Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.

Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya. 

Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.

Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat



Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik.“Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.” “Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.


>> Satu lagi kan..kalau pakai tudung labuh nie..bile duk lam bilik econ n xde sweater, tudung ni leh digunakan sebagai pelindung taw, mcm selimut..hehe.. :)
selain dari pelindungan drpd pandangan kaum Adam
0 ulasan more...

Salahkah Bila Berubah?

by URUSETIA RAKAN MASJID SULTAN BADLISHAH on Nov.22, 2009, under

                                                             
  Oleh : Exco Dakwah dan Tarbiah
 Editor : rakanmasjiduum

Izzat mengerutkan dahi memandang teman sebilliknya menumbuk tendang batang pohon, melepaskan amarahnya. Pagi tadi bukan main gembira Aliuddin melangkah keluar dari bilik. Tapi Aliuddin yang berada di hadapannya kini...


“Ali, bangun sembahyang Subuh. Dah lewat ni.”

“Diamlah kau. Aku nak sembahyang ke, tak nak ke, kau peduli apa? Kubur masing-masing.”


“Memang la kubur masing-masing. Kalau kubur kita sekali, bolehlah aku backup kau. Kau tak sembahyang, aku boleh tolong cover.”

Aliuddin menarik selimut lalu memekap mukanya dengan bantal. Izzat hanya menggeleng-gelengkan kepala. Suasana menyepi seketika. Hakim menepuk-nepuk bahu Izzat, mengisyaratkannya supaya ke tepi. Dia dekat ke tepi Aliuddin lalu menjerit, “Bangun Subuh!” Aliuddin yang tersentak bangun terduduk deng

1 ulasan more...

PERJUANGAN SI GEGAT

by URUSETIA RAKAN MASJID SULTAN BADLISHAH on Nov.22, 2009, under

  Seorang remaja terjumpa kepompong serangga gegat raja di belakang rumahnya.Dia membawa pulang gegat itu dan cuba mengamatinya sendiri hingga gegat itu keluar dari kepompongnya seperti yang pernah dipelajarinya dalam mata pelajaran biologi.Seperti yang di sangka dan di jangka,keesokan harinya kepompong perlahan-lahan mulai nampak mengeluarkan sebahagian daripada badannya.Hari berikutnya,dua per tiga daripada badannya sudah tidak kelihatan.Tidak sabar menunggu hari ketiga,remaja tadi menggunting bahagian kepompong yang menutup satu pertiga lagi badannya.Maka keluarlah gegat kecil tadi dengan tubuh yang bengkak serta sayap yang masih berlipat kecil.Remaja tadi terus saja mengamati gegat itu dan berharap dalam waktu yang tidak lama,sayap-sayap gegat itu kering dan terbentang lebar hingga ia dapat terbang.Selepas menunggu beberapa lama,sayap yang ditunggu tidak juga kembang.Ia hanya dapat berjalan mundar-mandir seolah-olah membawa beban yang terlampau berat.Muncul tanda tanya dalam benak remaja tadi,mengapa gegat ini jadi begini??.Secara logiknya,gegat yang dibantu ini sepatutnya dapat membuka kulit kepompongnya dan semakin cepat untuk terbang,bukan tidak dapat terbang.
   Bagi memuaskan rasa ingin tahunya,remaja tadi mencari maklumat serangga dalam internet dan mendapati kepompong yang hodoh,berkerut-kerut dan bergerak-gerak seperti sedang berjuang keras adalah perkara normal bagi menjadi seekor gegat.Perjuangan itu menyebabkan cairan yang ada dalam tubuhnya berpindah ke sayap hingga secara tidak langsung mengurangkan ukuran tubuhnya dan menjadikan sayapnya lebih besar dan lebar.Sungguh luar biasa!!tuhan maha pencipta mengatur kehidupan seluruh makhluk ciptaannya sedemikian halus dan sempurna.
   Ingat,hidup ini satu perjuangan!!Dalam hidup kita di dunia ini yang penuh dengan pancaroba dan dugaan yang berlaku bukan sekelip mata,semuanya perlu ditempuhi dengan perjuangan.perjuangan memerlukan waktu,ketekunan dan semangat pantang menyerah. Seorang pelajar yang dengan mudah mendapat kelulusan yang baik dalam peperiksaan akhir dengan mengambil hak orang lain atau kerjanya dibuatkan,tentu mempunyai kualiti kelulusan yang berbeza dengan pelajar yang bersungguh-sungguh menghadiri kuliah dengan perjuangan yang keras.
   Berjuang itu mirip bermain bola sepak.’5 S’ dan ‘Power’ diperlukan..SKILL,SPEED,SPIRIT,SPACE dan SYSTEM.

SKILL;Kemampuan ataupun kecekapan,
SPEED;Kepantasan bertindak,
SPIRIT;semangat juang bagi menghasilkan yang terbaik,
SPACE;tempat untuk berjuang dan
SYSTEM:sistem dan cara kerja serta peraturan yang berlaku untuk berjuang.
  
   Dan ingatlah sahabat-sahabat,terdapat ramai tokoh terkenal di dunia ini lahir yang serba kekurangan,tetapi masih mampu mengubah dunia dan menjadi yang terhebat dalam sejarah manusia.
Masih ingat akan Yasser Arafat??Siapa dia?Pemain bola kah?Doktor kah?Pengarah filem Malaysia kah?Tidak lain tidak bukan,Beliaulah Pejuang palestin yang memimpin rakyatnya mengambil semula tanah palestin.Semangat perjungannya hingga kini masih bersemi dan berkobar-kobar dalam dada rakyat palestin.itu semuanya hanya kerana satu perjuangan!!!Jom kita berjuang!!Jihad fi sabilillah!!Biar kemuncak kita tawan.
0 ulasan more...

Kursus ESQ (ESQ Training)

by URUSETIA RAKAN MASJID SULTAN BADLISHAH on Nov.22, 2009, under

                                                             
Kursus ESQ (ESQ Training) Dibenarkan
rakanmasjiduum(exco penerbitan)
Sinar Harian

PUTRAJAYA – Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan bahawa kursus Latihan Kepimpinan ESQ boleh dilaksanakan di negara ini dengan pengawasan sepenuhnya oleh panel syariah yang dilantik oleh ESQ.

Pengerusi jawatankuasa itu, Profesor Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, keputusan itu dibuat setelah muzakarah yang bersidang 16 Jun lalu berpuas hati dan berpandangan bahawa kebanyakan unsur-unsur keraguan yang terkandung dalam kursus itu boleh diperbetul dan diperjelaskan.




1 ulasan more...

Cinta al - Huda

by URUSETIA RAKAN MASJID SULTAN BADLISHAH on Nov.22, 2009, under


Maafkan aku
Maafkan aku kerana meminggirkanmu
Menyisihkanmu dari lembaran hidupku
Aku hidup sendirian
Tanpa memikirkan perasaanmu
Tanpa memikirkan betapa sedihnya dirimu
Betapa pilunya hatimu




Aku tahu kau merintih dari jauh
Mengharapkan kepulanganku ke sisi
Aku tak sedar semua itu
Aku masih dalam duniaku
Dunia yang kucipta sendiri
Walaupun tanpa basahnya lidahku
Membaca setiap bait darimu




Namun mungkin kerana
Cintamu masih kuat padaku
Kau masih memimpinku
Dari kejauhan




Aku melakukan kewajipanku
Walau ada kekurangan
Namun kucuba sebaik mungkin
Menjadi hambaNya


 
0 ulasan more...

Generasi Masa Hadapan

by URUSETIA RAKAN MASJID SULTAN BADLISHAH on Nov.22, 2009, under

'Epal yang cantik berbeza dengan epal yang busuk di makan ulat.'

Apa yang anda faham dengan kenyataan saya di atas? Cuba fikir-fikirkan.

Generasi hari ini adalah merupakan penyambung kejayaan untuk masa hadapan. Apa yang dibentuk hari ini merupakan landasan kepada masa hadapan. Jika generasi muda diberikan pendedahan yang baik ia akan memberikan impak yang baik serta positif. Jika lain, maka lainlah jadinya.


Teramat penting untuk sama-sama kita membentuk generasi masa hadapan yang cemerlang dalam setiap aspek. Ia merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh kita semua. Bukan sahaja pada orang-orang tertentu.
0 ulasan more...

AHLAN WA SAHLAN

by URUSETIA RAKAN MASJID SULTAN BADLISHAH on Nov.22, 2009, under


ALUAN PENGARAH PUSAT ISLAM…
Assalamualaikum warahmatullah..
Ahlan wa sahlan, welcome dan selamat datang kepada semua mahasiswa/siswi ke kampus hijau sintok, terutamanya mahasiswa/siswi baru sesi 2010/2011. Semoga semuanya hadir dengan perasaan gembira dan penuh bersemangat untuk belajar, menuntut ilmu dan membina kompetensi diri masing-masing. Semoga kehadiran kita di rahmati Allah Azzawajalla.
Moto penting yang harus didukung oleh semua mahasiswa/siswi apabila menjejakkan kaki di kampus ini ialah PERUBAHAN! (Change!-english, Tahgyir!-arab). Setiap orang tidak ada pilihan selain berhadapan dan menerima perubahan. Sesiapa yang tidak mahu berubah dan bergerak sebenarnya dia seorang yang telah mati jiwanya!
Namun perubahan bagaimanakah yang dikehendaki? Perubahan yang dikehendaki ialah perubahan positif: berubah daripada mundur kepada maju, malas kepada rajin berusaha, jahil kepada mengusai ilmu dalam bidang masing-masing, daripada hidup dibelenggu nafsu yang rendah kepada hidup beribadat dan berharakat bertaqarrub kepada Allah Azzawajalla.
Perubahan dan kejayaan di dalam kehidupan tidak akan berlaku sekelip mata. Ia perlu kepada usaha, ikhtiar, bimbingan dan didikan terhadap jiwa setiap individu. Perubahan di luar diri tidak akan berlaku kecuali setelah berlaku perubahan dalam diri individu terlebih dahulu. Inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah s.w.t.
“sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”
(Surah Al-Ra’d, ayat 11)
Dalam hubungan inilah saya menyeru semua rakan mahasiswa/siswi untuk bersama-sama dengan Pusat Islam menyertai pelbagai kegiatan yang akan dianjurkan dalam rangka mendidik dan mentarbiah diri masing-masing. Tarbiah bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiah. Jadi, mahu tidak mahu, jika kita hendak berubah menjadi mahasiswa/siswi yang lebih baik, sertailah kegiatan-kegiatan mendidik diri secara menyeluruh yang terdapat di kampus ini termasuk kegiatan-kegiatan di Pusat Islam.
Selamat maju jaya. Selamat memulakan kehidupan baru di kampus ke arah perubahan hidup yang positif, soleh dan di redhai Allah.
0 ulasan more...

Sakit Hati, Tulang Sendiri ?

by URUSETIA RAKAN MASJID SULTAN BADLISHAH on Nov.22, 2009, under


WANITA: Siapa yang paling kamu cintai di dunia ini?
LELAKI: Kamu!!!
WANITA: Menurut kamu, saya ini siapa?
LELAKI: (Berfikir sejenak, lalu menatap WANITA dengan pasti) Kamu, tulang rusukku!

Kerana Allah melihat bahawa Adam kesepian. Saat Adam sedang lena tidur, Allah mengambil rusuk Adam dan menciptakan Hawa.Semua LELAKI mencari tulang rusuknya yang hilang dan saat menemukan wanita untuknya, tidak lagi merasakan sakit di hatinya.

Setelah berkahwin, pasangan itu mengalami masa yang indah dan manis untuk sementara. Setelah itu, pasangan muda ini mulai tenggelam dalam kes ibubapa dan  masing-masing dan kelelahan hidup yang ada. Hidup mereka menjadi membosankan. Kenyataan hidup yang kejam membuat mereka mulai menyisihkan impian dan cinta satu sama lain. Mereka mulai bertengkar dan pertengkaran itu mulai menjadi semakin panas.
Pada suatu hari pada akhir sebuah pertengkaran.WANITA lari keluar rumah. Saat tiba di seberang jalan, dia berteriak "Kamu tidak cintakan saya lagi!!!". LELAKI sangat membenci ketidakdewasaan WANITA dan secara spontan juga berteriak "Saya menyesali perkahwinan ini! Kamu ternyata bukan tulang rusukku!!!"



Tiba-tiba WANITA terdiam, dan berdiri kaku untuk beberapa saat.LELAKI menyesali akan apa yang sudah dia lafazkan, tetapi seperti air yang telah tertumpah tidak mungkin untuk diceduk kembali. Dengan berlinang air mata, WANITA kembali ke rumah dan mengambil barang-barangnya, bertekad untuk berpisah. "Kalau saya bukan tulang rusukmu, biarkan saya pergi Biarkan kita berpisah dan mencari pasangan sejati masing-masing" .

Lima tahun berlalu. LELAKI masih belum lagi berkahwin, tetapi berusaha mencari khabar akan kehidupan WANITA. WANITA pernah ke luar negeri tetapi sudah kembali. Dia pernah berkahwin dengan seorang asing dan bercerai. LELAKI agak kecewa bila mengetahui WANITA tidak menunggu, sepertinya. Dan di tengah malam yang sunyi, dia meminum kopinya dan merasakan sakit di hatinya. Tetapi LELAKI tidak sanggup mengakui bahawa dia merindukan WANITA.

Suatu hari, mereka akhirnya bertemu kembali. Di airport, tempat di mana banyak terjadi pertemuan dan perpisahan, mereka dipisahkan hanya oleh sebuah dinding pembatas.
LELAKI: Apa khabar?
WANITA: Baik... Kamu sudah menemui tulang rusukmu yang hilang?
LELAKI: Belum.
WANITA: Saya akan terbang ke New York dengan penerbangan berikut. Saya akan kembali 2 minggu lagi. Telefon saya kalau kamu berkesempatan. Kamu tahu nombor telepon saya kan ? Tidak ada yang berubah. WANITA tersenyum manis, berlalu di hujung lafaz
"Selamat tinggal.."

Satu minggu kemudian, LELAKI menerima khabar WANITA adalah salah seorang korban Menara WTC. Malam itu, sekali lagi, LELAKI meneguk kopinya dan kembali merasakan sakit dihatinya. Akhirnya dia sedar bahwa sakit itu adalah kerana WANITA, tulang rusuknya sendiri yang telah dengan bodohnya dia patahkan.....

Nota Kasih Sayang :
Kita menempiaskan 99% kemarahan walau kepada orang yang paling kita cintai. Dan akibatnya adalah penyesalan. Seringkali penyesalan itu datang di kemudiannya, akibatnya setelah kita menyedari kesalahan kita, semua sudah terlambat.Kerana itu, jagalah dan sayangilah orang yang dicintai dengan sepenuh hati.Sebelum mengucapkan sesuatu berfikirlah dahulu, apakah kata-kata yang kau ucapkan akan menyakiti orang yang dicintai? Kira merasakan akan menyakitinya, sebaiknya jangan pernah dilafazkan. Kerana semakin besar risiko untuk kehilangan orang yang dicintai.

Jadi berfikirlah,  apakah kata-kata yang akan dilafazkan
sebanding
dengan akibat yang akan diterima?
0 ulasan more...

Search

Powered by Blogger.

Looking for something?

Use the form below to search the site:

Still not finding what you're looking for? Drop a comment on a post or contact us so we can take care of it!