Demo Blog

HAPUSKAN KEJAHILAN,TEGAKKAN PENGAMALAN..

by URUSETIA RAKAN MASJID SULTAN BADLISHAH on Nov.22, 2009, under

"Wahai Nabi Allah! Siapakah orang yang paling pandai?” tanya kaum Nabi Musa a.s. Baginda menjawab;
“Akulah yang paling pandai di kalangan manusia”. Lalu Allah s.w.t. menegur baginda Musa a.s. atas
perkataannya itu. Nabi Musa a.s. memohon ampun dan Allah s.w.t. pun mewahyukan kepada baginda
tentang seorang hambaNya bernama Khidir a.s., seorang lelaki yang lebih banyak ilmunya daripada baginda.
Itulah kisah seorang Nabi Allah yang diceritakan di dalam Al Quran Surah Al Kahfi bermula ayat 60. Maha Suci
Tuhan yang tidak akan berkata dengan KalamNya dengan kata-kata yang tidak mempunyai makna dan tujuan. Kisah itu
dikhabarkan agar kita sentiasa merendah diri dengan ilmu yang kita miliki.
Lebih-lebih lagi bagi kita yang diberikan amanah sebagai seorang guru atau pendidik. Hendaklah kita sentiasa
sedar bahawa setinggi mana pun peringkat pendidikan kita, hatta seorang yang bergelar profesor, namun kita tidak
seharusnya mendabik dada dengan ilmu yang kita ada. Kerana ia tidak ubah seperti setitis air di hujung jarum berbanding
lautan yang luas.
Insaflah kita, bahawa ilmu yang kita ada adalah milik Allah yang diamanahkan kepada kita untuk disampaikan
kepada manusia sejagat. Itulah tugas dan amanah bagi mereka yang sudah berilmu. Sampaikanlah dengan rasa tawadhuk
kepada Allah. Sudah seharusnya bagi kita yang berilmu, semakin bertambah ilmu semakin kenal kita pada Allah. Semakin
kenal pada Allah, semakin dekat kita padaNya. Dan semakin dekat kita, semakin banyak ketaatan yang kita lakukan dan
semakin terhakisnya kejahatan dan kemaksiatan.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa yang bertambah ilmunya, tetapi tidak bertambah
hidayah (ketaatannya), maka sesungguhnya dia akan semakin jauh daripada Allah.” Wal’yazubillah. Mari kita hisab diri
kita wahai insan yang bergelar guru. Sejauh mana ilmu yang kita ada dapat membantu kita mengenali Pencipta? Semakin
tinggikah akhlak kita terhadap Khalik dan makhluk? Atau ilmu hanya tinggal ilmu, sedangkan akhlak merudum ke
peringkat yang paling hina?
Kita di sini bukanlah untuk berseronok atau hanya untuk menghitung rezeki. Tetapi ditakdirnya kita di sini adalah
dengan satu tanggungjawab yang bukan diamanahkan oleh majikan kita, tetapi oleh Allah; raja segala raja.
Tanggungjawab untuk menghasilkan insan-insan yang berilmu dan yang tahu menggunakan ilmu itu untuk mengenali
Allah serta menambahkan ketaatan kepadaNya.
Kita bukan mendidik mereka hanya untuk berjaya di dalam peperiksaan. Tetapi matlamat kita seharusnya lebih
jauh dari itu. Matlamat kita ialah agar dengan ilmu yang meluncur dari bibir kita ke hati mereka, kelak insyaAllah mereka
akan berjaya di negeri akhirat.
Kita sentiasa menarik nafas lega bila kejayaan mereka diumumkan di penghujung semester. Tetapi pernahkah kita
terfikir untuk menarik nafas lega sekali lagi, bila kejayaan mereka mendapat rahmat Allah, diumumkan di padang
mahsyar. Di kala itu, beruntunglah orang-orang yang sentiasa menunjuk ajar manusia agar mempergunakan ilmu untuk
menuju Allah. Bahkan, keuntungan itu sudah pasti kita rasai terlebih dahulu di alam kubur, kerana ilmu yang bermanfaat
itu, adalah amalan yang tidak akan terputus ganjaran pahalanya.
Jadikanlah ini sebagai matlamat utama. Didiklah pelajar-pelajar kita dengan didikan yang sempurna bukan
semata-mata untuk lulus di dalam peperiksaan dunia, tetapi juga untuk lulus dalam peperiksaan akhirat.
Sampai bilakah orang yang berilmu akan terus berdiam diri melihat akhlak anak didik mereka sentiasa tercemar.
Jangan khianati amanah Allah. Bantulah mereka untuk mengenaliNya. Kalau mereka membuat kesilapan, kesilapan
mereka adalah kerana kejahilan. Tetapi yang lebih bersalah dan yang lebih besar dosanya, ialah kita. Kerana kita punya
ilmu dan kita tahu yang mana baik dan yang mana buruk, tetapi kita tidak menyeru mereka ke arah kebaikan dan
mencegah mereka dari melakukan kemungkaran.
Sekali lagi, dosa kemungkaran disebabkan kejahilan tidaklah seberat dosa membiarkan kemungkaran sedangkan
ia mempunyai pengetahuan.Wallahu’alam.
0 ulasan more...

0 ulasan

Post a Comment

Search

Powered by Blogger.

Looking for something?

Use the form below to search the site:

Still not finding what you're looking for? Drop a comment on a post or contact us so we can take care of it!